KUALA LUMPUR 10 Julai – Rakyat Malaysia lebih mempercayai media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio berbanding sumber berita dalam talian, menurut kaji selidik antarabangsa oleh Ipsos.
Ipsos dalam kenyataannya berkata, mereka juga lebih percaya dengan berita dan maklumat daripada kenalan peribadi berbanding sumber lain.
“Kepercayaan rakyat Malaysia kepada akhbar dan majalah meningkat daripada 21 peratus lima tahun lalu kepada 25 peratus kini manakala kepercayaan rakyat terhadap medium televisyen dan radio meningkat daripada 24 peratus kepada 28 peratus bagi tempoh sama,” katanya di sini hari ini.
Kaji selidik itu juga mendapati kepercayaan terhadap laman web dan platform berita dalam talian bagi rakyat negara ini meningkat sebanyak empat peratus iaitu daripada lapan peratus kepada 12 peratus bagi tempoh sama.
Di peringkat antarabangsa, antara sumber berita dan maklumat hanya perhubungan peribadi telah bertambah kepercayaannya sepanjang lima tahun lepas.
“Sebanyak 79 peratus warga Malaysia menganggap bahawa akhbar dan majalah mempunyai niat baik berbanding peringkat global hanya 50 peratus manakala 77 peratus rakyat Malaysia pula mempercayai televisyen dan radio berbanding 52 peratus di peringkat global.
“Responden di India, Peru, Sweden, Jerman dan Malaysia lebih mempercayai penyiar awam manakala di Hungary dan Poland sebahagian rakyat mempercayai penyiar swasta berbanding dengan penyiar awam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Sdn. Bhd., Arun Menon berkata, dapatan kajian mengenai kepercayaan rakyat Malaysia terhadap media yang semakin bertambah itu merupakan suatu perkara yang luar biasa.
“Hal ini jelas sekali (kepercayaan kepada media) dalam data selepas Pilihan Raya 2018. Warga Malaysia juga cenderung mempercayai berita daripada sumber lazim yang memberi saluran tradisional kelebihan berbanding platform berita dalam talian,” katanya. – BERNAMA











