Exco gelar lelaki cabul budak sebagai ‘datuk miang’ - Utusan Malaysia

Exco gelar lelaki cabul budak sebagai ‘datuk miang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 10 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon mengutuk perbuatan seorang lelaki berusia 65 tahun yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan baru-baru ini.

Sambil menggelar warga emas itu sebagai ‘datuk miang’, beliau percaya terdapat juga mangsa lain yang diperlakukan sedemikian rupa oleh suspek dan meminta mereka tampil membantu siasatan.

“Pencabul tersebut baru diberkas. Saya rasa ini hanya permulaan. Saya percaya pesalah seks seperti lelaki itu adalah pesalah berulang.

“Saya menggesa semua mangsa-mangsa lain untuk tampil ke depan dan mendakwa pernah menjadi mangsa datuk miang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan hari ini berkata, seorang lelaki ditahan malam tadi selepas didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam kereta Proton Waja di sini bulan lalu.

Suspek yang merupakan pemandu lori turut merakam perbuatan tidak senonoh itu dan rakaman video tersebut tular dalam media sosial sejak semalam.

Lelaki itu yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki tinggal di perumahan berhampiran mangsa dan telah melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa sebanyak tiga kali pada bulan lalu.

Sementara itu, Nicole menyeru semua ibu bapa supaya menerangkan kepada anak-anak tentang batas dan sentuhan yang dibolehkan dengan individu lain dan ia bukannya belaian yang menimbulkan rangsangan.

“Ajar mereka bagaimana untuk memberi reaksi apabila berhadapan dengan situasi tersebut. Galakkan mereka memberitahu ibu bapa serta-merta jika berlaku sesuatu yang tidak selesa atau luar daripada kebiasaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×