Tempoh reman suspek tikam isteri disambung - Utusan Malaysia

Tempoh reman suspek tikam isteri disambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Tempoh reman suspek kes tikam isteri sehingga mati dalam kejadian di Taman Seri Duyong Fasa Dua, di sini pada minggu lalu disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun itu yang sebelum ini turut cedera parah selepas cuba menikam dirinya sendiri direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Terdahulu suspek telah direman selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu dan tempoh itu berakhir hari ini. Bagaimanapun, kita membuat permohonan untuk sambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki itu juga dilaporkan telah stabil dan dimasukkan ke wad psikiatrik dan setakat ini tiada apa-apa lagi keputusan daripada doktor (mengenai sakit mental) yang memantaunya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seorang suri rumah maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di kediaman pasangan itu di Taman Seri Duyong Fasa Dua, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, ditemui mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka.

Wanita itu ditikam sebanyak empat kali oleh suspek di bahagian rusuk kanan serta belakang bahu sebelah kiri.

Berdasarkan semakan rekod dengan pihak hospital, suspek sebelum ini pernah mendapatkan rawatan psikiatrik dan ditahan pada Jun lalu atas kesalahan jenayah curi serta dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini