KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sudah menyiapkan pelan strategik pelancongannya termasuk mempergiat dan memajukan sektor pelancongan dalam usaha mencapai sasaran pendapatan RM6 bilion hasil kedatangan 6.5 juta pelancong ke Terengganu menjelang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu diyakini dapat direalisasikan berdasarkan komitmen padu semua agensi pelancongan negeri khususnya Jabatan pelancongan Terengganu serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan.
Meskipun mengakui wujud sedikit kemerosotan kunjungan pelancong ke Terengganu ketika ini, beliau tetap optimis jumlah itu akan terus meningkat sekali gus mencapai sasaran ditetapkan berdasarkan trend yang berlaku sekarang.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan NGO-NGO pelancongan di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini, beliau turut menyebut beberapa program yang dirancang dari Julai hingga September tahun ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri.
Program-program itu ialah Pertandingan Akhir Dikir Barat Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Terenganu yang dijadual berlangsung di Pantai Peranginan Kelulut, Marang pada 26 Julai ini.
Diikuti Terengganu CFA International Cat Show di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak dari 20 hingga 21 Julai ini; Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir (25 hingga 28 Julai).
“Begitu juga Pekan Budaya Jom Singgoh Daerah Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman (Julai hingga September); Karnival Pantai Terengganu di Pantai Batu Buruk (12 hingga 16 September) dan Road Show Beautiful Terengganu melibatkan mini travel fair, tourism talk bersama penggiat industri pelancongan dan
duta-duta kecil di negeri terlibat.
“Bagi program Karnival Pantai Terengganu di Pantai Batu Buruk September nanti, akan ada beberapa perubahan yang kita buat tahun ini termasuk diselitkan konsep kebudayaan Islam,” katanya.
Mengenai pertemuan dengan NGO pelancongan hari ini, Ariffin berkata, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk sama-sama membangun serta menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. -UTUSAN ONLINE











