ALOR SETAR 10 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti terlebih dahulu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berkenaan tragedi seorang murid lelaki maut selepas terjatuh daripada bas sekolah yang mengalami lantai reput di Pasir Puteh, Kelantan, Khamis lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, laporan itu juga akan diteliti oleh beberapa agensi lain termasuk polis sebelum tindakan susulan boleh diambil jika ada kesalahan.
Menurutnya, pemeriksaan JPJ terhadap cukai jalan kenderaan perdagangan terbabit masih sah ketika kejadian tersebut berlaku.
“Kita hanya akan mengeluarkan cukai jalan kepada bas sekiranya mereka telah mendapat kelulusan daripada Puspakom, jika tiada laporan berkenaan, kita tidak akan keluarkan sewenang-wenangnya.
“Pihak JPJ sudah minta laporan mengenai keadaan bas terbabit daripada Puspakom, cuma kena tunggu mereka serahkan kepada kita kerana mungkin perkara itu masih dalam proses,” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran JPJe-Bid bagi siri nombor KET di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus dan Pengarah JPJ negeri,Ismasuhaimi Sharif.
Tambah Shaharuddin, sehingga kini JPJ tidak boleh memberi sebarang komen mengenai kejadian itu berikutan ia di bawah siasatan polis.
Ujarnya, segala bentuk tindakan JPJ kelak akan merujuk kepada hasil siasatan Puspakom.
Khamis lalu, akhbar melaporkan seorang murid lelaki maut selepas terjatuh daripada bas sekolah yang sedang bergerak dipercayai akibat terpijak lantai bas berlubang di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu, Wan Muhammed Adam Mohd. Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan. -UTUSAN ONLINE











