Syed Saddiq jangan campur urusan Johor - MBNJ - Utusan Malaysia

Syed Saddiq jangan campur urusan Johor – MBNJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 Julai – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mengambil maklum perkembangan berkaitan belia di negeri ini termasuk keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dalam tempoh 48 jam yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan belia.

Pada masa sama, Presidennya, Md. Salleheen Mohamad turut mempersoalkan apa sebenarnya yang hendak diperjudikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri sehingga membuat keputusan tidak selaras seperti berlaku pergolakan konflik begitu ketara.

Justeru, katanya, kerajaan Pusat terutama Kementerian Belia dan Sukan perlu mencari punca mengapa Johor dan beberapa negeri lain masih mahu mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun dan bukan 30 tahun seperti keputusan dibuat kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak serius dan ikhlas menangani permasalahan belia secara holistik, ia membuka permasalahan baharu membabitkan pengangguran, peluang kerjaya dan latihan serta perkembangan ekonomi baik di peringkat negeri mahu pun pusat.

“MBNJ juga ingin menasihatkan Menteri Belia dan Sukan supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor yang mempunyai Menteri Besar, barisan Exco, Pegawai Tadbir Negeri dan Badan Induk Belia yang sentiasa rapat dengan golongan muda dan berupaya menentukan jatuh bangunnya belia di negeri ini.

“Dan tidak usahlah Menteri terlalu mengganggu tugas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempunyai tugasan lebih utama terhadap negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md. Salleheen berkata, adalah lebih baik Syed Saddiq memberi keutamaan isu lain yang lebih mendesak seperti janji tidak tertunai terhadap golongan muda iaitu PTPTN, peluang pekerjaan (terutama 400,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura), kos sara hidup, perumahan pasangan muda dan sebagainya.

Tambahnya, MBNJ juga berharap segala usaha murni kerajaan negeri tidak lagi di politikkan tetapi bersama dengan mereka untuk memastikan Belia Johor terus berupaya memacu pembangunan dan kemajuan negeri ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini