SHAH ALAM – Perbuatan jelik seorang lelaki menyamar sebagai doktor dan membuat gangguan seksual ke atas wanita melalui perbualan telefon membawa padah selepas dicekup polis, semalam.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.45 malam oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah hotel di Klang, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan polis mengenai kegiatan lelaki yang berasal dari Terengganu itu.
Beliau berkata, kesemua mangsa terdiri dari wanita yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan bagi syarat permohonan perkahwinan.
“Kesemua mangsa ini akan dihubungi oleh suspek melalui telefon dan suspek akan menyamar sebagai doktor yang memaklumkan hasil pemeriksaan.
“Mangsa-mangsa akan diberitahu kononnya mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kanser payu dara, masalah darah, ketulan di payu dara dan sebagainya,”katanya dalam satu kenyatan di sini semalam.
Tambah Fadzil, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat perbuatan seperti membaringkan diri sambil berpusing ke kiri dan kanan, mencangkung sambil menggosok kemaluan, menepuk buah dada, membuat bunyi terangsang sambil bercakap perkataan perkataan lucah dan sebagainya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, siasatan lanjut mendapati sebanyak 21 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh mangsa yang berlainan berkaitan perbuatan suspek.
Jelas Fadzil, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat panggilan kepada mangsa.
“Berdasarkan semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 148/326 Kanun sama kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.
“Suspek kini direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 509/170 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











