KUALA LUMPUR 10 Julai- Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Taman Bunga Raya, Rawang dekat sini hari ini.
Kejadian pada pukul 2 petang itu berlaku apabila mangsa, Muhammad Amin Shah Safaruddin yang sedang bermain dengan rakannya dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil kasutnya yang terjatuh ke dalam longkang sedalam empat meter berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 petang dan sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dan BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kita memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada pukul 3.45 petang iaitu satu meter dari lokasi mangsa jatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Hafisham, mayat kini dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.- UTUSAN ONLINE











