JPJ Kedah laksana e-Bidding nombor KET - Utusan Malaysia

JPJ Kedah laksana e-Bidding nombor KET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 10 Julai – Kedah menjadi negeri pertama di luar Lembah Klang yang melaksanakan sistem tempahan nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik atau e-Bidding bagi siri KET yang akan bermula pada pukul 12 tengah malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, serentak dengan itu, pengguna kenderaan dari negeri lain boleh menempah atau menawarkan sebut harga siri nombor KET yang dibuka sehingga Isnin ini.

Menurutnya, sistem itu sebelum ini sudah dimulakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur sebelum akan diteruskan pula bagi Pulau Pinang, Sabah dan Johor tidak lama lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menjangkakan e-Bidding dapat dilaksanakan di seluruh negara menjelang akhir tahun depan bergantung kepada pembukaan siri nombor baharu di negeri-negeri terbabit.

“Setakat ini, pelaksanaan sistem tersebut mendapat reaksi positif daripada pengguna terutamanya berkaitan tempoh kelulusan tempahan yang hanya mengambil masa lima hari berbanding dua minggu mengikut kaedah manual,” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran JPJe-Bid bagi siri nombor KET di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus dan Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Sharif.

Sementara itu, bagi siri nombor pendaftaran KET, Shaharuddin berkata, pihaknya menyasarkan pendapatan kira-kira RM1 juta berdasarkan purata bagi nombor pendaftaran KEN hingga KES, sebelum ini.

“Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah RM20,000, manakala nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300) dengan kenaikan minimum lima peratus bagi semua kategori itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan kutipan bagi siri nombor pendaftaran VDP untuk Kuala Lumpur yang berjumlah RM1.14 juta dengan biadaan tertinggi adalah VDP 1 berharga RM120,000.

Katanya, lima nombor yang paling banyak dibida adalah VDP 69 iaitu seramai 10 pembida diikuti VDP 88, VDP 21, VDP 33 dan VDP 8055 masing-masing merekodkan sembilan pembida. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×