SHAH ALAM 10 Julai – Menyamar sebagai doktor sebelum meminta mangsa yang baharu sahaja menjalani ujian pemeriksaan kesihatan melakukan aksi lucah menerusi panggilan telefon.
Itu perbuatan yang dilakukan seorang lelaki ‘gila seks’ berusia 39 tahun bagi memperdaya wanita yang menjalani pemeriksaan kesihatan untuk berkahwin bagi tujuan melempias nafsu peliknya.
Bagaimanapun, suspek yang berasal dari Terengganu akhirnya diberkas polis Selangor di sebuah hotel di Klang, semalam, susulan daripada 21 laporan polis yang dibuat mangsa pada sejak Jun lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua mangsa adalah wanita yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan bagi syarat permohonan perkahwinan.
“Kesemua mangsa ini dihubungi melalui telefon dan saspek menyamar sebagai doktor yang memaklumkan hasil pemeriksaan. Mangsa-mangsa diberitahu kononnya mempunyai masalah kesihatan seperti kanser payu dara, masalah darah, ketulan di payu dara dan sebagainya.
“Seterusnya melalui telefon, suspek mengarahkan mangsa agar baring sambil berpusing ke kiri dan kanan, mencangkung sambil menggosok kemaluan, menepuk buah dada, membuat bunyi terangsang, bercakap perkataan perkataan lucah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan akhar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadzil memberitahu, suspek yang mempunyai dua rekod lampau melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan direman selama dua hari.
Tambahnya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat panggilan kepada mangsa dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 509/170 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan mengeluarkan kata-kata lucah. -UTUSAN ONLINE











