KUALA LUMPUR 10 Julai – Empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun di sekitar daerah Brickfields, Sentul, Cheras dan Petaling Jaya ditahan dalam dua serbuan di sebuah hotel dan rumah kelmarin.
Dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Desa Sri Hartamas, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin dua daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun seorang wanita di Desa Sri Hartamas Sabtu lalu ditahan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pihaknya menyerbu hotel tersebut selepas menerima maklumat dan melakukan risikan. Menurutnya, wanita berusia 25 tahun itu membuat laporan beg miliknya diragut dua lelaki ketika mangsa menunggu kenderaan perkhidmatan e-hailing atau grab berdekatan sebuah kedai tayar di Desa Sri Hartamas pada pukul 11.51 pagi. “Mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi kerugian sebanyak RM300, mata wang asing bernilai AS$50 dan beberapa dokumen penting dilarikan suspek yang menaiki motosikal. “Hasil siasatan awal juga kita dapati suspek menjadikan bilik hotel sebagai pusat operasi sebelum melakukan jenayah ragut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, Ruslan memberitahu, hasil penahanan suspek, polis menemukan semula barang kepunyaan mangsa serta pelbagai barangan dipercayai milik mangsa lain.
“Antara barangan lain yang ditemukan ialah sebuah motosikal Yamaha Y150 berwarna hitam, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, kad akses pejabat, kad bank, kad kredit, alat penyembur pemedih mata, penutup muka serta beberapa barang lain bukan milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua suspek berumur 20-an ketika ditahan disyaki sedang berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
Sementara itu, Ruslan berkata, siasatan susulan pada hari yang sama telah membawa kepada penangkapan dua lagi rakan suspek yang berumur 20-an di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Batu 9, Cheras.
Jelas beliau, ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis syabu.
“Mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan semakan rekod jenayah mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes berkenaan bagi membantu siasatan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 0322979222.– UTUSAN ONLINE











