SUBANG JAYA 10 Julai – Sebanyak 12 individu termasuk seorang warga Afrika ditahan polis sejak 13 sehingga 28 Jun lalu kerana terlibat dalam pelbagai kegiatan penipuan.
Kesemua tangkapan tersebut ditahan di sekitar Subang Jaya, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah hasil maklumat dan risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Subang Jaya menerusi Op Mule.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kesemua mereka yang ditahan membabitkan 11 lelaki dan seorang wanita dengan nilai kerugian RM148,099.
Ujarnya, daripada jumlah yang ditahan, lima tangkapan membabitkan kes macau scam; empat pinjaman tidak wujud; dua penipuan jual beli barang secara dalam talian (e-dagang) dan satu pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
“Sebahagian tangkapan sudah pun dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 403, 420 dan 424 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955 manakala, bakinya sedang menunggu arahan pertuduhan.
“Selain itu, kita juga sedang membuat tindakan susulan bagi mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di Perak dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Risikin berkata, berdasarkan siasatan, semua suspek adalah pemilik akaun (Mule Account) yang digunakan untuk melakukan penipuan terbabit.
Kata Risikin, siasatan turut mendapati modus operandi digunakan sindiket adalah dengan memperdaya suspek ini untuk menyerahkan kad ATM serta butiran akaun melalui komunikasi di laman sosial, mesej dan juga panggilan telefon.
“Urusan penyerahan kad ATM kepada ‘individu’ tidak dikenali itu dibuat melalui kiriman pos ke alamat diberikan atau diserahkan kepada orang tengah iaitu ahli sindiket tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan terbabit.
“Kebanyakan mangsa terpedaya selepas dikaburi dengan komisen diberikan walaupun tidak seberapa,”jelasnya.
Tambah Risikin, operasi berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa dalam membendung penularan empat jenis sindiket penipuan terbabit yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.
“Masyarakat juga dinasihati supaya lebih sensitif dengan taktik licik sindiket yang cuba mengaburi orang ramai dengan wang,” katanya.- UTUSAN ONLINE











