Projek rintis AADK di 12 kawasan berisiko tinggi dadah - Utusan Malaysia

Projek rintis AADK di 12 kawasan berisiko tinggi dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melaksanakan projek rintis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelancongan sosial di 12 kawasan melibatkan tujuh negeri.

Kawasan yang terbabit ialah Langkawi, FELDA Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan FELDA Gugusan Hulu Selangor (Selangor); Johor Bahru meliputi Perling, Tampoi dan Skudai dan Parit Sulong Batu Pahat (Johor), Pengkalan Chepa (Kelantan); Kuala Dungun (Terengganu), PPR Sungai Bonus (Kuala Lumpur) dan FELDA Keratong 3 (Pahang).

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, kawasan projek rintis yang dikenal pasti itu melibatkan kawasan yang terletak di dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa kerja diwujudkan untuk merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah yang akan diterajui AADK membabitkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri dan akan dilancarkan Perdana Menteri.

Menurutnya, kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan menyedari mengenai kekangan AADK daripada segi fasiliti dan kekurangan tenaga kerja dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Ini berdasarkan nisbah yang amat tinggi berhubung bilangan pegawai Antidadah berbanding klien dalam komuniti iaitu 1:200 berbanding 1:25 mengikut Piawaian Antarabangsa. Perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak kementerian,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pewujudan kluster banduan penagih dadah dengan anggaran kos keseluruhan RM285 juta.

Menurutnya, kluster itu diadakan di 14 institusi penjara membabitkan 19 blok penempatan dengan anggaran kapasiti seramai 9,500 banduan penagih dadah pada satu-satu masa daripada kes sabitan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut dipersetujui ialah cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mendefinisi semula penagih dan pengguna dadah serta menyemak semula kuasa-kuasa Ketua Pengarah AADK berhubung pengendalian Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Persendirian (PPDP).

“Kesalahan berkaitan penagihan dadah dikeluarkan daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini seperti terkandung dalam Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

“Antara yang turut dipersetujui ialah Kementerian Kesihatan sedang dalam tindakan membuat pindaan berhubung kesalahan berkaitan ketum yang dijangka akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, peruntukan sebanyak RM300 juta disediakan Kementerian Kewangan bagi membeli 20 mesin pengimbas kargo dan dalam proses perolehan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini