IPOH 10 Julai – Dewan Pemuda Pas Perak menggesa seorang ahli exco kerajaan negeri Perak yang disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumahnya digantung daripada jawatannya.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Mohd. Hafez Sabri berkata, segala urusan kerja melibatkan exco dari DAP itu perlu digantung serta merta sehinggalah kes tersebut selesai.
Menurutnya, Pemuda Pas negeri memandang serius dakwaan tersebut namun konsisten berpendirian seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Namun begitu, Pemuda Pas Perak berpendirian sekalipun masih dalam siasatan, integriti dan moral khususnya sebagai pemimpin negeri hendaklah dijaga dan dipelihara.
“Pemuda Pas Perak menggesa agar segala urusan kerja melibatkan exco DAP tersebut digantung serta merta sehinggalah kes dakwaan tersebut selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hafez berkata, institusi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam dan mahkamah harus bertindak tegas dalam memastikan tiada campur tangan pihak berkepentingan.
Beliau berharap siasatan yang dilakukan benar-benar adil dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berwajib melakukan tugasan.
Kata beliau, Pas sebagai sebuah parti Islam yang berprinsip dan berintegriti memanfaatkan ruang demokrasi sebagai wasilah membangun negara, sentiasa istiqamah dengan prinsip tersebut.
“Bermula kes berpofil tinggi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kepada Kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini kes dakwaan jenayah merogol oleh exco DAP Perak, Pas tidak pernah meletakkan kebencian melebihi keadilan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











