PASIR GUDANG 10 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan sumbangan faedah pencen kepada waris Muhammad Nazrul Masdi, 21, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 4 Julai lalu.
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya baru memulakan kerja selama dua bulan selepas menamatkan pengajiannya.
Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuan berkata, waris Muhammad Nazrul berhak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.
“Selain itu, waris juga akan menerima kadar pencen bulanan berjumlah RM850.50 sebulan,” katanya ketika hadir ke kediaman keluarga Muhammad Nazrul di Taman Cahaya Masai, di sini sebentar tadi.

Faedah dan pencen bulanan itu diterima ayah mangsa, Masdi Amat Johar, 54, yang juga merupakan seorang penerima pencen ilat Perkeso sebanyak RM1,400 sebulan. – UTUSAN ONLINE











