NILAI – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Nilai mengesan terdapat sebanyak 429 unit papan iklan luar (billboard) didirikan secara haram di sepanjang laluan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di kawasan pentadbirannya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, billboard yang dibina tanpa kebenaran itu mengakibatkan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) kerugian hampir setengah juta ringgit setiap tahun.
Jelas beliau, kerugian itu bukan sahaja dalam aspek kehilangan cukai taksiran, permit binaan dan lesen binaan, malah belanja untuk merobohkan billboard haram itu yang dianggarkan lebih RM2,000 bagi setiap unit.
“PBT Nilai mengalami kerugian kira-kira RM500,000 setiap tahun disebabkan pembinaan paparan iklan luar haram ini yang tidak mendapat kelulusan daripada PBT.
“PBT kena tanggung kerugian dan kos merobohkan sedangkan pemilik billboard haram ini memperoleh keuntungan RM10,000 ke RM20,000 setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar sempena Op Bersepadu Kerja-kerja Perobohan Papan Iklan Haram PLUS arah Selatan kawasan MPN di sini hari ini.
Kok Seong berkata, MPN telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 224 daripada 429 billboard haram terbabit mulai 1 April hingga 15 Mei lalu dengan mengeluarkan 456 kompaun serta 235 notis roboh.
Bagaimanapun, kata beliau, daripada 456 bilangan kompaun bernilai RM171,750 itu, hanya 36 bilangan kompaun bernilai RM13,250 dijelaskan dan tiada tindakan merobohkan billboard haram dilakukan oleh pemilik.
“Dua bulan lalu kita berikan notis kepada pengusaha billboard haram terbabit, tetapi tiada tindakan dan kerana itu kita terpaksa jalankan penguatkuasaan merobohkan bermula hari ini.
“Operasi ini melihat kepada aspek keselamatan terhadap billboard haram yang belum tentu selamat dan kukuh kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya,” katanya.
Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi itu terdiri daripada ahli Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, MPN, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Lembaga Lebuhr Raya Malaysia (LLM), Projek Lebuh Raya Usahasama Berhad (PLUS) dan Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL).
Kosmo! Online difahamkan sebanyak 13 billboard akan dirobohkan di sepanjang lebuh raya dari Bukit Mahkota hingga Nilai arah selatan hari ini dan operasi sama akan turut dilaksanakan di kawasan PBT lain di negeri ini. – K! ONLINE











