Pemuda maut ditembak rakan di hutan - Utusan Malaysia

Pemuda maut ditembak rakan di hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Julai – Seorang pemuda maut selepas terkena tembakan rakannya ketika memburu rusa di Hutan Karamatoi, Sook, Sabah, pada Jumaat lalu.

Ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa Fithiwandi Feritus, 18, mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan yang dilepaskan rakannya yang berusia 21 tahun.

Portal berita SabahNewsToday melaporkan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Asisten Superintenden Lee Nyuk Lim berkata, mengikut laporan, mangsa bersama rakannya telah sepakat untuk memburu di tersebut pada Jumaat lalu kerana mendapati kawasan itu terdapat banyak rusa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, ketika memburu rakan mangsa yang sedang mengintai kehadiran rusa melepaskan tembakan ke satu arah sebaik mendengar bunyi yang disangkanya binatang itu.

“Dia kemudian bergegas ke lokasi tembakan dilepaskan dan mendapati rakannya sedang terbaring dan mengalami kecederaan teruk.

“Suspek cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan kemudian pulang ke kampung sejauh setengah jam perjalanan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada ketua kampung,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Nyuk Lim memberitahu, mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian leher sebelah kanan dan bahu kiri.

“Rakan mangsa ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut selepas menyerah diri kepada polis,” ujarnya.

Tambah Nyuk Lim, suspek yang juga rakan sekampung mangsa juga didapati positif dadah jenis syabu ketika ujian air kencing dilakukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini