Penipu mohon maaf, Fauzi masih tuntut janji - Utusan Malaysia

Penipu mohon maaf, Fauzi masih tuntut janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES penipuan membabitkan isteri pelakon Fauzi Nawawi, aktres Lisdawati yang kerugian ribuan ringgit akibat ditipu seorang wanita sejak dua tahun lepas hampir selesai apabila individu tersebut akhirnya memunculkan diri.

Fauzi, 46, baru-baru ini memberi tempoh masa kepada wanita dikenali sebagai Nurul Ashikin itu untuk tampil menyerah diri sebelum 31 Ogos depan sekiranya dia enggan berdepan tindakan undang-undang.

Selepas amaran tersebut dikeluarkan menerusi laporan media, wanita itu telah membuat permohonan maaf kepada Lisdawati menerusi rakannya dan berjanji untuk melangsaikan hutang tersebut secara ansuran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, pada Jun lalu Lisdawati pernah memuat naik maklumat berkenaan wanita itu dalam Instagramnya selepas dia menghilangkan diri bersama sejumlah wang yang dibayar bagi tujuan pelaburan.

Ikuti temu bual bersama Fauzi ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya berjudul Coast Guard baru-baru ini.

KOSMO!: Sebelum ini isteri anda, Lisdawati pernah mendedahkan ditipu oleh seorang wanita sehingga kerugian ribuan ringgit. Boleh Fauzi ceritakan perkembangan kes tersebut?

FAUZI NAWAWI: Sebenarnya kes ini sudah berlalu lebih setahun ketika isteri saya sedang hamil anak bongsu kami. Tetapi pada waktu itu. kami masih memberi peluang kepada wanita berkenaan. Kami beranggapan dia mungkin berdepan masalah peribadi seperti rumah tangga.

Malangnya, dia terus menghilangkan diri tanpa dapat dijejaki. Kediamannya juga kosong ketika kami pergi mencarinya. Mujurlah selepas saya memberi amaran kepadanya menerusi platform media baru-baru ini, akhirnya dia muncul dan memohon maaf menerusi orang tengah. Dia berjanji akan melangsaikan hutang tersebut secara ansuran. Cuma selepas sehari saya mendedahkan tentang kemunculannya, isteri menerima banyak mesej daripada orang ramai dalam Instagram yang mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa wanita itu. Jadi, saya berasa tidak sedap hati pula selepas semakin ramai mencari isteri saya berkaitan kes ini.

Apakah tindakan anda seterusnya?

Jalan terakhir, sudah tentulah tindakan undang-undang. Sebab kes membabitkan wanita itu bukannya perkara kecil, tetapi berkaitan pelaburan dan melibatkan dokumen kerajaan.

Penyelesaiannya, kami beri tempoh dalam masa terdekat untuk kes ini diselesaikan supaya tidak melibatkan orang lain.

Boleh kongsikan penglibatan anda dalam filem Coast Guard?

Dalam filem ini, saya sekali lagi memegang watak antagonis bernama Samad. Berdasarkan skrip, saya melihat Samad digambarkan sebagai penjahat yang menjalankan aktiviti penyeludupan organ manusia dan mempunyai rakan konco lakonan Hazama dan Black. Setakat ini, sudah lebih dua minggu saya menjalani latihan untuk mendapatkan kembali stamina.

Apakah jenis latihan yang anda lakukan untuk filem berkenaan?

Latihan lebih kepada menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram dan membina otot pada bahagian abdomen. Semua aksi lagak ngeri dan berlawan akan saya lakukan sendiri sepanjang penggambaran filem ini yang akan bermula pada awal Ogos depan.

Memandangkan sudah lama tidak berlatih, baru-baru ini saya mengalami sedikit kecederaan kerana kaki terseliuh. Mujurlah tiada kecederaan yang serius.

Adakah anda menyifatkan watak Samad tidak mencabar kerana sudah sinonim dengan lakonan antagonis?

Semua watak tidak mudah, termasuklah antagonis walaupun sudah biasa diberi watak serupa. Hal ini kerana, saya sentiasa mencari kelainan dalam menyampaikan watak yang dijayakan supaya berbeza dengan naskhah-naskhah terdahulu.

Jika menerusi filem Anak Wayang, saya banyak buat kajian dengan menonton filem Tamil dan Hong Kong. Namun, berbeza dengan watak Samad, dia digambarkan sebagai lelaki yang jahat tanpa sempadan. Namun, saya cuba warnakan watak Samad dengan banyak bertutur bahasa lain seperti Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini