KUALA LUMPUR 9 Julai – Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada tiga peratus sudah cukup untuk memacu pertumbuhan ekonomi terutama pasaran domestik.
MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, pihaknya berpendapat tiada perubahan diperlukan dalam pendirian monetari ketika ini selagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi empat peratus dan Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal positif.
Katanya, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut memberi isyarat ia akan menurunkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali tahun ini.
“Perdagangan luar Malaysia kian pulih selepas import dan eksport menunjukkan pertumbuhan positif dalam tempoh dua bulan terakhir. Ketegangan perang dagangan antara AS dan China reda seketika selepas kedua-dua pihak bersetuju menyambung semula rundingan.
“Di peringkat domestik, jualan terus berkembang sederhana, namun aktiviti ekonomi kekal kukuh berikutan kadar pengangguran masih mencerminkan keadaan pekerjaan penuh dan inflasi kekal di paras rendah disebabkan harga runcit minyak yang rendah,” katanya di sini hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan OPR pada tiga peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
Tambah firma penyelidikan itu, penurunan OPR yang dibuat pada Mei lalu akan memperbaiki aktiviti penggunaan domestik dan pelaburan pada separuh kedua tahun ini.
Menurutnya, momentum kukuh dalam penggunaan sektor swasta dan perkhidmatan akan mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia ke kedudukan yang lebih baik pada 2019.
“Petunjuk utama seperti indeks utama dan tinjauan kecenderungan perniagaan menunjukkan trajektori pertumbuhan yang lebih baik pada separuh kedua. Kami menjangkakan ekonomi akan berkembang pada 4.9 peratus tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi OCBC Bank, Alan Lau berkata, inflasi dilihat tidak menjadi halangan kepada keputusan dasar monetari dan secara purata ia dijangka kekal sekitar satu peratus pada 2019.











