Bumiputera, Melayu ketinggalan - Utusan Malaysia

Bumiputera, Melayu ketinggalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun pasaran saham diwujudkan sejak 1964, orang Melayu masih ketinggalan dalam me­rebut peluang yang ada lebih-lebih lagi keistimewaan sebagai bumiputera yang diberi peruntukan khas memiliki saham-saham yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Peruntukan saham khas bumiputera ini dibuka kepada orang awam dan syarikat bumiputera yang dahulunya hanya dibuka kepada syarikat-syarikat berstatus bumiputera dan individu-individu yang dikenalpasti sebagai pelabur berdaftar di MITI.

Tawaran peruntukan saham khas ini juga mudah diperoleh melalui permohonan dalam talian. Sekiranya, pemohon yang berjaya ingin membuat pinjaman untuk langganan saham diterima, mereka boleh mengajukan permohonan kepada syarikat broker saham atau bank yang mempunyai fasiliti pinjaman saham IPO ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiap tahun banyak saham IPO bakal disenaraikan dan pelabur yang berminat me­langgannya. Untuk itu, mereka boleh merujuk di laman web Bursa Malaysia atau MITI.

Bimbingan

Bagaimanapun, untuk membuat pemilihan saham-saham IPO berpotensi, pelabur diga­lakkan membaca prospektus terlebih dahulu atau merujuk kepada syarikat broker saham serta individu-individu bertauliah yang boleh memberi nasihat dan bimbingan saham.

Pelabur boleh merujuk laman web Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mendapatkan pendedahan prospektus sesuatu saham IPO sebelum keluarnya prospektus yang telah diluluskan SC untuk diterbitkan menje­lang pembukaan penawaran saham IPO tersebut.

Perlu ditekankan, pelabur harus mengambil kira sentimen pasaran ketika saham IPO bakal disenaraikan. Sekiranya, pada tarikh saham IPO itu disenaraikan, dikhuatiri sentimen pasaran berada dalam keadaan lemah atau bearish yang boleh mengakibatkan harga dibuka jatuh di bawah harga tawaran semasa hari penyenaraian saham IPO.

Selain saham-saham IPO yang diperuntukkan kepada bumiputera oleh MITI, orang ramai juga boleh memohon saham di bawah tawaran persendirian. Saham di dalam kategori tawaran persendirian ini mempunyai syarat tersendiri iaitu pelabur perlu mempunyai jumlah tertentu dana yang me­layakkan pelabur memohon.

Tawaran saham persendirian ini boleh menjadi saham yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu IPO termasuk saham sedia ada di pasaran terbuka yang sedang diurus niaga setiap hari.

Jika dilihat daripada sumber yang dikeluarkan Bursa Malaysia, bumiputera hanya meliputi 0.9 peratus berbanding kaum Cina, 1.6 peratus dalam pembukaan Akaun Depositori Pusat (CDS). Jumlah keseluruhan pemegang akaun CDS ialah 2.5 peratus pada Julai 2018.

Pergerakan

Bagaimana pelabur dan pe­dagang saham hendak memanfaatkan pergerakan turun dan naik harga saham syarikat tersenarai di pasaran terbuka untuk menjana pendapatan?

Untuk memanfaatkan pergerakan turun naik harga saham syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pelabur atau pedagang saham perlu membeli saham syarikat tersenarai dan tunggu harga saham itu naik. Kenaikan tersebut harus melepasi kos-kos terlibat dalam beli dan jual saham.

Pelabur dan pedagang boleh menjual pada harga diingini mengikut peratusan ataupun dari segi nilai kenaikan harga saham itu sendiri dengan mendarab perbezaan harga beli dan jual dengan jumlah unit saham dimiliki.

Untuk menjual saham mengikut nilai peratus, pelabur boleh mengambil kira keadaan ber­ikut:

  • Jika pasaran lemah atau menurun secara keseluruhan, pelabur boleh menjual saham bila keuntungan mencapai satu ke dua peratus.
  • Sekiranya pasaran dalam keadaan biasa-biasa, pelabur boleh mengambil untung apabila harga saham naik sebanyak empat ke lima peratus.
  • Sekiranya keseluruhan pasaran adalah cergas dengan jumlah dagangan yang ­banyak, pelabur boleh menjual saham tersebut apabila harga saham naik melebihi sekurang-kurangnya lapan peratus.

Keadaan ini hanya boleh digunapakai ketika membuat urus niaga saham untuk jangka masa singkat. Walaupun ada waktu-waktu tertentu pulangan sesuatu saham itu boleh naik 100 peratus dan adakalanya lebih daripada 300 peratus, ia berlaku pada masa-masa tertentu sahaja.

Keadaan ini boleh dicetuskan oleh keadaan yang mana pada ketika itu terdapat pemangkin positif atau adanya manipulasi saham yang tidak diketahui punca atau berita menyebabkan harga saham tersebut boleh naik begitu drastik.

Kita sambung topik ini pada minggu hadapan.

Seminar Pasaran Modal Utusan akan diadakan pada 28 Julai 2019. Sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156 untuk mendaftar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini