Pemilik kilang digesa tubuh ERT  - Utusan Malaysia

Pemilik kilang digesa tubuh ERT 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menggesa semua pemilik kilang di negeri ini supaya menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di premis masing-masing sebagai langkah awal  ketika berlaku kecemasan.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, setakat hari ini sebanyak 454 pasukan ERT telah ditubuhkan dengan keahlian kira-kira 10,616.

Katanya, jumlah itu masih kurang berbandinh dengan jumlah kilang serta premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebakaran melibatkan kilang-kilang ini kerap berlaku contohnya pada Jumaat lalu kebakaran tiga buah kilang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Malah hari ini pun ada kebakaran melibatkan tiga buah kilang perabot di Kampung Melayu Subang.

“Apabila semakan dan kajian dilakukan mendapati premis-premis yang terbakar ini tidak mempunyai ERT yang akan bertindak awal jika berlaku kebakaran. Bila berlaku kebakaran mereka ini tidak tahu untuk menggunakan alat padam kebakaran yang ada di premis masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Pharmaniaga di Ibu Pejabat Pharmaniaga di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran dan Ketua Pegawai Operasi Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Terdahulu, Norazam memaklumkan, selain ERT, sebanyak 146 pasukan (1,724 ahli) bomba komuniti berdaftar dengan bomba diikuti skuad bomba 135 pasukan (1,837 ahli) dan Kelab 3K iaitu 146 pasukan (5,659 ahli).

Mengulas lanjut, Norazam menyeru supaya pemilik kilang atau premis menubuhkan pasukan ERT masing-masing bergantung kepada nisbah pekerja sekali gus dapat memastikan keselamatan semua pekerja terjamin.

“Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa jika berlaku sebarang kecemasan kerana terdapat pekerja yang terlatih untuk mengendalikan perkara itu dari peringkat awal.

“Sekurang-kurangnya semua pekerja perlu tahu menggunakan pemadam api kerana itu adalah ilmu paling asas apabila berdepan dengan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Farshila berkata, pihaknya menubuhkan pasukan itu sejak 2005 dan pihaknya melihat keperluan penubuhannya untuk memberi penekanan terhadap pengurangan risiko terutama melibatkan keselamatan dan pencegahan kebakaran.

“Buat masa ini, kita menyimpan 300 juta ubat di kilang penyimpanan untuk keperluan perubatan negara. Penting untuk kita meletakkan keselamatan di gudang ini pada tahap yang tinggi bagi memastikan bekalan perubatan ini sentiasa mencukupi di hospital-hospital,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini