Penolakan pindaan had usia belia memalukan, tergesa-gesa - Utusan Malaysia

Penolakan pindaan had usia belia memalukan, tergesa-gesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 9 Julai – Penolakan beberapa buah negeri termasuk di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pindaan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun di Parlimen minggu lepas adalah pertama kali berlaku dalam sejarah tanah air dan memalukan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, malah bantahan sama turut berlaku dalam kalangan para pemegang taruh Kementerian Belia dan Sukan yang terdiri daripada pertubuhan belia.

Kata beliau, ia sekali gus menunjukkan pindaan itu dibuat secara tergesa-gesa oleh Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tanpa berunding dengan pihak yang berkepentingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau secara sinis berkata, pada masa sama, membuktikan bahawa Syed Saddiq tiada pengalaman dan ilmu yang mencukupi bagi mengendalikan sebuah kementerian.

“Ia (pindaan) seolah-olah mahu dilaksanakan dengan pantas tanpa mendapatkan pandangan semua pihak. Saya pasti sekiranya pihak Kementerian Belia dan Sukan berusaha mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak, isu penolakan ini tidak akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini