KUANTAN 9 Julai – Seorang wanita maut dan otang dua parah selepas Perodua Alza dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori jenis Hino dalam kemalangan d Kilometer 19 Jalan Kuantan-Chini berdekatan Kampung Batu Gong, Chini, Pekan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.10 pagi itu, mangsa yang maut ialah Rokiah Hassan, 68, manakala suaminya yang memandu Perodua Alza terbabit, Che Mat Lateh, 70, cedera di muka dan rusuk dan seorang lagi penumpang kereta itu, Jamilah Sahari, 63, patah bahu kanan.
Pemandu lori 12 tan tanpa muatan itu, Mohd. Fazly Muhhmad Jusin, 34, tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, ketika kejadian Perodua Alza terbabit dalam perjalanan ke arah Muadzam Shah manakala lori terbabit dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kampung Batu Gong.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori terbabit membelok ke kanan jalan untuk memasuki simpang Kampung Batu Gong dilanggar dari belakang oleh Perodua Alza terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Perodua Alza berkenaan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











