JOHOR BAHRU 9 Julai – Kanak-kanak yang menjadi mangsa pencemaran udara di Pasir Gudang berdepan risiko menghidap masalah obesiti sekiranya isu berkenaan tidak ditangani segera.
Pakar Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Dr. Shohei Matsuura berkata, ini kerana masalah pencemaran udara akan menghadkan aktiviti luar kanak-kanak.
“Keadaan persekitaran yang bahaya di mana kanak-kanak dihalang melakukan aktiviti fizikal dan riadah di luar akan mendatangkan risiko obesiti.
“Andaian ini dibuat ekoran tragedi keracunan merkuri di Kumamoto, Jepun yang berlaku pada tahun 1960-an lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi taklimat pakar JICA sempena Program Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana di Bilik Gerakan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











