KUALA LUMPUR 8 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) tidak berhasrat mentakrifkan semula belia berdasarkan had umur tertentu dalam pelaksanaan program kelolaannya dan agensi-agensi berkaitan.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, program-program MED akan dilaksanakan mengikut kriteria sedia ada.
Jelas beliau, cadangan untuk menurunkan had umur belia harus disertakan dengan hala tuju jelas dan definisi yang betul bagi mengelakkan kekeliruan.
“Apa yang saya faham ialah penurunan had umur itu hanya melibatkan hak belia untuk membuat pemilihan. Kita (MED) melihat belia bukan sekadar untuk mengundi, tetapi lebih daripada itu.
“Contohnya, kalau definisi ini diguna pakai secara menyeluruh kepada belia hingga 30 dan 35 tahun, ini akan menidakkan peluang mereka mendapat latihan dan bimbingan. Bagaimanapun, setakat hari ini, had umur yang dicadangkan itu hanya untuk mengundi dan tidak melibatkan sebarang perspektif keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Hadiah Program SME Bank 90-Days Biz Challenge di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun di samping pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak lebih empat tahun atau bersamaan dua penggal.
Tindakan itu mendapat maklum balas berbeza daripada orang ramai termasuk menggesa kerajaan mengkaji semula perkara berkenaan kerana ia bakal menafikan hak usahawan muda di negara ini terutama kalangan mereka yang baru memulakan perniagaan.
Mengenai had umur pendaftaran untuk membuka syarikat sendiri, Mohd. Redzuan berkata, pihaknya akan mengkaji perkara itu jika terdapat had umur berbeza di setiap negeri.
“Semuanya berbalik kepada definisi belia tersebut secara keseluruhannya supaya ia tidak akan menjejaskan pembangunan usahawan muda. Kita tidak mahu perkara-perkara ini menjadi kekangan kepada mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan,” katanya.











