WASHINGTON – Kepulangan Juara Piala Dunia Wanita, Amerika Syarikat (AS) ke tanah air mereka awal pagi tadi disambut meriah.
Pasukan AS mencatat rekod kejuaraan keempat pada kejohanan terbesar dunia itu selepas menewaskan Belanda 2-0 pada final di Perancis kelmarin mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty dengan penerbangan sewa khas.
Penyerang Alex Morgan dan pemain terbaik kejohanan Megan Rapinoe antara yang pertama keluar dari pesawat dengan karpet merah menanti kepulangan mereka.
Kebanyakan pemain yang dilihat meraikan kejayaan kelmarin dalam beberapa pos video di media sosial, memakai cermin mata gelap ketika mereka disambut peminat, keluarga, rakan dan sanak saudara di lapangan terbang.
Mood parti berterusan ketika pemain mendendangkan lagu nyanyian kumpulan Queen ‘We Are the Champions’ dan ‘We Will Rock You’.
Pemain menyarung kemeja-t berwarna hitam dengan terpampang tulisan ‘JUARA DUNIA’ dan di atas tulisan itu terdapat empat bintang yang menandakan empat kemenangan Piala Dunia.
Pasukan itu kemudiannya menaiki bas sebelum berlepas ke New York, kerana skuad itu akan diberi penghormatan pada majlis perarakan awal pagi Khamis ini. -AFP











