PULAU PINANG 9 Julai – Polis negeri ini berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah pangsapuri di Jelutong di sini sebagai makmal memproses dadah.
Kejayaan itu hasil serbuan dalam tiga operasi berasingan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Rabu dan Khamis lalu.
Dalam serbuan antara pukul 10 malam hingga 2 pagi itu, seramai lapan warga tempatan berusia antara 31 hingga 77 tahun termasuk seorang wanita berusia 35 tahun ditahan.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah pelbagai jenis dadah disyaki heroin; syabu dan kafein dengan nilai rampasan dianggarkan RM126,000.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, dalam operasi pertama di sebuah rumah di Jelutong pukul 10 malam Rabu lalu, pihaknya menahan dua lelaki dan merampas heroin seberat kira-kira lapan kilogram (kg) dan 21 kg kafein.
Tambahnya, operasi itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah kedai kopi di kawasan sama pukul 12 tengah malam hari sama dan menahan lima lelaki serta merampas 70.8 gram dadah disyaki syabu dan 50 gram dadah disyaki heroin.
“Ekoran kejayaan kedua-dua operasi ini, kita kemudiannya menyerbu sebuah pangsapuri pada pukul 2 pagi Khamis lalu yang dijadikan makmal untuk memproses dadah.
“Selain menahan seorang wanita yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang lelaki yang ditahan, kita turut merampas pelbagai peralatan dan cecair untuk memproses dadah jenis heroin di pangsapuri berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Saravana, turut disita daripada kesemua suspek adalah wang tunai berjumlah RM2,571; sebentuk cincin emas; kereta jenis Nissan X-Trail dan Proton X70 serta motosikal skuter Honda PCX dengan nilai keseluruhan sitaan RM128,861.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan baru beroperasi beberapa bulan lalu namun sudah berjaya memasarkan dadah yang diproses mereka untuk pasaran di sekitar daerah ini sebelum ini.
“Bagi jumlah dadah yang berjaya dirampas ini pula sekiranya terlepas pasaran, boleh digunakan oleh seramai 65,000 penagih,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek itu yang bekerja sendiri termasuk sebagai nelayan, tukang kayu dan penarik kereta kini direman selama tujuh hari sehingga lusa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











