KUALA LUMPUR 8 Julai – Penduduk Taman Bukit Permata Fasa II, Batu Caves di sini membantah cadangan projek perumahan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju di kawasan perumahan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bukit Permata (BP) 2, Zamzuri Mahmood berkata, projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu didakwa akan menyebabkan pelbagai masalah seperti kesesakan, gangguan dan pencemaran.
“Bukan menolak pembangunan tetapi kami memikirkan soal keselamatan dan ketenteraman penduduk yang menetap di sini sejak 15 tahun lalu.
“Tapak projek ini berada di tengah-tengah kawasan perumahan. Kami tidak dapat bayangkan kehidupan penduduk di sini untuk berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang dipenuhi jentera berat, bunyi bising, habuk dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Jelas Zamzuri, walaupun pemaju mempunyai hak untuk membangunkan projek di atas tanah mereka, tindakan itu tidak sewajarnya dilakukan sekarang kerana kawasan taman perumahan berkenaan yang sudah terlalu padat. “Kenapa baru sekarang mahu bina setelah lokasi ini didiami oleh kira-kira 4,000 penduduk.
“Sepatutnya unit rumah teres berkenaan dibangunkan serentak semasa awal pembangunan kawasan ini dahulu,’’ katanya.
Sehubungan itu, Zamzuri berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didesak supaya campur tangan dalam membatalkan kebenaran permohonan membangunkan projek itu serta-merta tanpa sebarang rundingan.
Katanya, projek itu juga dirancang tanpa pengetahuan dan perbincangan bersama penduduk setempat.
“Pemaju kena fikirkan kesejahteraan penduduk jangan fikir keuntungan semata-mata,’’ katanya.
“PEMAJU patut kekalkan tapak itu sebagai kawasan riadah untuk penduduk dan bukan cari keuntungan semata-mata.”
Christine Lim Pei Yee Penduduk
“HANYA ada satu laluan untuk ke taman ini. Bayangkan tahap kesesakan yang perlu dihadapi penduduk jika projek ini berjalan tidak lama lagi.
U. Gobinath Penduduk











