KUALA LUMPUR 9 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal membangunkan beberapa polisi bagi penggal kedua tahun ini iaitu dari April hingga Jun lalu.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, antara polisi yang menjejaskan prestasi PH adalah keputusan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dan pengambilalihan empat syarikat pemegang konsesi lebuh raya.
“Kami telah melakukan survei terhadap masyarakat berbilang bangsa di negara ini untuk menilai prestasi PH berdasarkan tiga elemen utama iaitu komitmen menunaikan janji manifesto, pelaksanaan dan penerimaan masyarakat terhadap setiap polisi.
“Berdasarkan survei tersebut, sebanyak 31 peratus orang ramai tidak berpuas hati dengan polisi-polisi yang dilaksanakan PH, jumlah itu lebih rendah berbanding penggal pertama (Januari hingga Mac) tahun ini iaitu 22 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











