PUTRAJAYA – Kerajaan menerima empat kertas cadangan berhubung inisiatif rancangan bagi membantu memulihkan semula syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd. (MAS).
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu meneliti tawaran yang diberikan secara berhati-hati berikutan strategi pemulihan MAS sebelum ini dianggap tidak berjaya.
“Tiada keputusan, hanya orang buat tawaran. Ada yang mahu beli, ada yang mahu urus sahaja dan kita sedang mengkaji cadangan-cadangan ini.
“Setakat ini ada empat cadangan (yang diterima) dan kebanyakan syarikat tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Penutup Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019 bertemakan ‘Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda di sini hari ini.
Mahathir berkata demikian bagi mengulas pertemuan beliau dengan pengasas bersama Kumpulan AirAsia Bhd., Datuk Pahamin Ab. Rajab bersama empat usahawan lain pada 3 Julai lalu untuk membincangkan rancangan membantu kerajaan memulihkan MAS.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kerajaan perlu mencari seseorang yang mempunyai pengalaman dalam usaha menyelamatkan MAS.
Beliau berkata, banyak syarikat tempatan yang telah menghantar cadangan untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu.
“Mereka merasakan mampu memulihkan syarikat penerbangan itu dan sebelum ini pun banyak orang yang telah dilantik tetapi tiada perubahan.
“Ada kalanya mereka (syarikat tempatan) rasa mereka berkemampuan tetapi kita lantik banyak orang dah dahulu (menguruskan MAS) dan semua buktikan mereka tidak mampu,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, Mahathir berkata, kabinet belum membuat sebarang keputusan berkenaan tawaran kerajaan untuk mengambil alih konsesi tol daripada Gamuda Bhd.
“Belum ada apa-apa keputusan,” ujarnya ringkas. -K! ONLINE











