MELAKA 9 Julai – Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Rambai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Shah Daniel Munazir, 16, yang menunggang bersendirian meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batang Tiga ke Bukit Rambai.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca akibat faktor jalan licin ekoran cuaca hujan.
“Mangsa yang menunggang bersendirian gagal mengawal motosikalnya dan terbabas sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan dan meluncur bersama motosikalnya ke bahu kiri jalan.
“Akibat itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Jelas Afzanizar, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala motosikalnya dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.
Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











