LONDON – Langkah pemain berusia 15 tahun, Cori Gauff berakhir di peringkat 16 terbaik selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia Simona Halep 6-3, 6-3 dalam kejohanan Wimbledon di Kelab All England.
Nama Gauff menjadi sebutan di kejohanan tersebut setelah mencipta kejutan dengan menewaskan juara lima kali Wimbledon, Venus Williams, dalam pusingan pertama.
Pemain kelahiran Amerika Syarikat itu yang bergelut dengan masalah kesihatan perut tetap mampu mempamerkan beberapa pukulan berkualiti dan dia mengagumi sokongan yang diberikan peminat di kejohanan berkenaan.
“Ia amat mengejutkan kerana anda tidak menjangkakan sokongan sebegini walaupun beraksi di negara lain.
“Saya dapat berasakan seperti beraksi di New York. Saya sangat gembira kerana orang mempercayai kebolehan saya.
“Mereka (penonton) sangat menakjubkan termasuk dalam perlawanan ini. Walaupun gagal bermain baik, mereka tetap memberikan sokongan.
“Banyak yang saya pelajari kali ini, beraksi di hadapan penonton yang ramai. Saya belajar beraksi di bawah tekanan dan saya sangat gembira kerana menimbanya di Wimbledon,” katanya. – AGENSI











