Helang Merah sedia gempur Penyu - Utusan Malaysia

Helang Merah sedia gempur Penyu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIADAAN tiga pemain utama Kedah tidak akan melunturkan semangat skuad Helang Merah menjelang aksi menentang Terengganu FC I (TFC I) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof menegaskan, dia percaya skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu akan mampu mencuri tiga mata di Kuala Terengganu meskipun tugasnya di benteng pertahanan sedikit berubah selepas ketiadaan Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim Ifwat dan Mohd. Rizal Mohd. Ghazali.

Terdahulu, khidmat penjaga gol utama Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim dan Jonathan Bauman (penyerang) masing-masing berdepan kecederaan bahu dan paha manakala Rizal (pertahanan) digantung dua perlawanan selepas mengutip enam kad kuning.

“Ifwat, Bauman dan Rizal tidak menyertai pasukan ke Kuala Terengganu dan ia sedikit pun tidak melunturkan semangat pasukan untuk mendapatkan kemenangan ketika berdepan TFC I.

“Sesiapa sahaja yang diturunkan esok (hari ini) sudah tahu misi dan peranan masing-masing, jadi tiada masalah buat pasukan dalam usaha mendapatkan kemenangan dan kami pernah lakukan ketika menundukkan TFC I dengan keputusan 3-0 di Alor Setar pada April lalu.

“Apa pun, kami tetap berwaspada dengan kemampuan TFC I susulan pasukan itu mempunyai motivasi tinggi selepas menundukkan PKNS FC di Shah Alam minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azmeer juga mengakui ren­tak pasukan tidak akan terjejas meskipun mereka perlu berdepan jadual liga yang padat serta disusuli aksi final Piala FA menentang Perak pada 27 Julai nanti.

“Jadual padat tidak boleh dijadikan alasan menyebabkan prestasi pasukan merudum memandangkan semua pasukan berdepan situasi sama.

“Sebagai pemain, kami tahu tugas masing-masing apabila berada dalam situasi sekarang, jadi saya boleh katakan Kedah berada pada tahap terbaik untuk mengharungi semua perlawanan pada Julai ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×