PORT DICKSON 8 Julai – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditemukan mati di sebuah ladang sawit di Bukit Pelandok dekat sini petang tadi.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terbaring oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis.
“Polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira pukul 3.40 petang.
“Siasatan mendapati mangsa bernama Tan Ah Lek beralamat di Kampung Sawah, Bukit Pelandok,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kematian mangsa disahkan oleh pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes itu buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











