Cukup 4 parti orang Melayu - Tun M - Utusan Malaysia

Cukup 4 parti orang Melayu – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 8 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, pelawaannya agar semua parti Melayu menyertai Bersatu bukan bersifat rasis sebaliknya untuk menyelamatkan semua orang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengakui beliau teruk kena belasah akibat membuat pelawaan itu dan menjelaskan, orang Melayu tidak perlu menubuhkan lebih banyak parti semata-mata kerana berasa seronok menjadi presiden.

Beliau berpendapat, empat parti Melayu sedia ada iaitu UMNO, Pas, Bersatu Parti Amanah Negara Amanah) sudah memadai bagi memperjuangkan nasib orang Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya telah terangkan bahawa orang Melayu ni dia tak pandai politik. Dia seronok nak jadi presiden, bila nak jadi presiden seronok dia buka parti. Semakin lama semakin banyak parti, Jadi lama-lama orang Melayu tak ada kuasa langsung.

“Sudah ada empat parti Melayu, cukuplah, tak payah buat sampai 20 ke 30, pasal nak jadi presiden buat parti sendiri, ada dua orang seorang jadi presiden seorang jadi naib presiden, itu tak ada makna langsung.

“Orang Melayu mesti belajar politik adalah perkara yang serius.

“ Kita sudah ada empat parti Melayu, kalau ada masalah kemukakan kepada mereka, jangan buat parti lagi, “ katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu boleh menyertai UMNO, Pas atau mana-mana parti Melayi sedia ada tidak semestinya Bersatu.

Ditanya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri ahmad Zahid Hamidi menolak pelawaan beliau itu, Dr. Mahathir berkata, ahli UMNO boleh menyertai Bersatu kerana yang menolak presiden mereka.

“Presiden nak masukpun kita tak bagi,” katanya.

Dr. Mahathir turut menjelaskan bahawa pelawaan beliau itu bukan bermaksud beliau takut kehilangan sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan.

“Menubuhkan parti baharu bukan jawapan kepada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu” jelasnya.

Dr. Mahathir baru-baru ini mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

Jelasnya, dulu hanya ada satu parti Melayu iaitu UMNO, tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam.

“Bukan lagi majoriti 60 peratus, tapi setiap parti hanya 10 peratus sahaja. Saya harap bekas UMNO yang masih dalam UMNO perlu ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang apa pun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini