KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk menjadikan badan bukan kerajaan (NGo) yang aktif membantu penagih dadah sebagai pusat dan rakan untuk merawat golongan yang dianggap sebagai pesakit itu.
Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Ramli Abdul Samad berkata, banyak negara terutama di negara maju memberikan peranan kepada NGO untuk membantu memulihkan golongan penagih dadah.
“Untuk makluman saya ada berbincang dengan beberapa pengarah penjara. Daripada 60,000 banduan dalam penjara itu 42,000 adalah daripada kes-kes kecil dadah seperti memiliki. Pusat-pusat pemulihan sudah tak muat.
“Yang peliknya bagi kami NGO ini mengapa kerajaan tidak guna NGO. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah rawatan dan pemulihan kerajaan memberi dana kepada NGO untuk melaksanakannya. Kerajaan hanya jaga dari segi pelaksanaan, perundangan dan dasar,” kata Ramli.
Beliau berkata demikian dalam segmen Sembang Online bertajuk Penagih Dadah: Penjenayah Atau Pesakit yang disiarkan secara langung di Facebook Utusan Online hari.
Ramli berkata, kerajaan hanya membantu dan melatih NGO tersebut supaya lebih banyak organisasi berteraskan komuniti yang melakukan tugas merawat dan memulihkan penagih.
Menurutnya, kos untuk merawat penagih tidak memerlukan dana yang tinggi.
“Untuk kos perubatan Kementerian Kesihatan lebih memahami. Namun untuk NGO, kos hanya melibatkan melibatkan perbelanjaan makanan dan minuman, keperluan harian dan kakitangan.
“Kajian Universiti Islam Malaysia yang membuat perbandingan kos mendapati rawatan dan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah sebanyak RM35 seorang sehari. Namun melalui NGO boleh jimat 40 peratus daripada jumlah tersebut,” jelas Ramli.
Menurut Ramli, NGO juga tidak memerlukan petugas yang ramai kerana ramai sukarelawan yang sudi menyumbangkan tenaga dan masa untuk memulihkan penagih.
“Proses pemulihan penagih melibatkan beberapa peringkat. Contoh tiga bulan pertama dia tidak stabil. Tiga bulan hingga enam bulan dia sudah boleh berfungsi.
“Enam bulan ke sembilan bulan dia sudah boleh bertanggungjawab. Macam kita di Pengasih kita beri balik tanggungjawab itu kepada pesakit. Kita latih penghuni kita untuk mula mengambil tanggungjawab,” terang Ramli.
Menurut beliau, kajian yang dibuat oleh Universiti Utara Malaysia mendapati bahawa Pengasih mencapai tahap 68 peratus penagih yang bebas dadah selepas dua tahun rawatan.
Ramli juga berkata, Pengasih amat mengalu-alukan langkah kerajaan ketika ini untuk meminda undang-undang bagi memberi peluang kedua kepada penagih dengan tidak menghukum mereka sebaliknya memberi peluang kepada penagih untuk menjalani rawatan.-UTUSAN ONLINE











