KUALA TERENGGANU 8 Julai – Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.183 juta kepada 44 pemohon siri pertama Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, kesemua 44 pemohon itu adalah individu yang menceburi sektor pertanian, penternakan, akuakultur dan perikanan dengan nilai kelulusan antara RM10,000 sehingga maksimum RM50,000.
“Sektor utama yang mendapat tumpuan pemohon ialah pertanian secara fertigasi, penternakan ayam, itik, lembu dan kambing, pembelian bot serta peralatan menangkap ikan dan pengusaha pembenihan kerapu hibrid.
“Bagi setiap permohonan yang dikemukakan, pegawai-pegawai jabatan berkenaan turun padang untuk membuat lawatan tapak serta penilaian potensi projek sebelum dikemukakan laporan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani bagi dibuat pertimbangan sebaiknya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Melalui skim itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi membantu golongan nelayan, penternak dan petani di Terengganu membuat pinjaman patuh syariah di mana tiada sebarang faedah dikenakan kepada mereka.
Mengulas lanjut, Dr. Azman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, berkata tiada permohonan yang ditolak setakat ini, namun pemohon perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti lesen bot nelayan yang belum diluluskan, mencari tapak baru yang lebih sesuai untuk diusahakan serta saiz projek yang hendak dilaksanakan.
“Permohonan tidak ditolak… cuma perlu diteliti semula disebabkan ada isu jumlah dana yang dipohon tidak sepadan dengan saiz projek yang hendak dibuat.
“Jabatan berkenaan akan mengambil tindakan susulan bagi menangani isu-isu yang timbul. Hasrat kerajaan negeri ialah agar semua rakyat yang komited mahu mengubah taraf hidup mereka melalui tiga sektor ini dibantu secara serius,” katanya.
Ketika ini, pemohon siri kedua skim itu sedang diproses dan akan dipertimbangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani untuk tindakan lanjut, katanya. – BERNAMA











