SEBERANG PERAI – Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Tol Bertam ke Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, suspek berusia 56 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi tersebut didapati memandu secara melawan arus dalam jarak sejauh kira-kira 9 kilometer.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, anggotanya yang sedang melakukan tugasan rondaan lebuh raya Sektor 4 Zon 2 Utara telah bertindak selepas menerima laporan daripada pihak PLUS berhubung kejadian itu.
“Pemandu itu ditahan ketika dia berhenti di lorong Smart Tag di Plaza Tol Sungai Dua.
“Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi ujian alkohol dan dadah serta pemandu itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati lelaki tersebut baru pulang dari sebuah kelab malam di bahagian pulau dan dalam perjalanan ke rumahnya.
“Dia yang memandu bersendirian hendak pulang ke rumah di Bukit Tambun (di daerah Seberang Perai Selatan) tetapi telah tersalah jalan sehingga ke Tol Bertam di daerah SPU.
“Apabila melepasi Tol Bertam, dia baru sedar tersalah arah dan membuat pusingan semula ke arah selatan dengan memandu secara melawan arus,” katanya.
Noorzainy berkata, pemandu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











