RIO DE JANEIRO – Jurulatih Brazil, Tite berkata Lionel Messi sepatutnya menunjukkan rasa hormat berikutan dakwaan kapten Argentina itu mengatakan perlawanan Copa America telah diatur bagi membolehkan tuan rumah memenanginya.
Brazil menjuarai Copa America dengan menewaskan Peru 3-1 di Maracana semalam namun Tite memberitahu pasukannya berdepan laluan berliku terutamanya berkaitan keputusan pengadil.
“Dia perlu tunjuk rasa hormat, dia perlu faham dan menerima kekalahan pasukannya.
“Kami juga terkesan dengan banyak perlawanan malah Piala Dunia, jadi kami perlu berhati-hati.
“Dia meletakkan tekanan terlalu tinggi terhadap dirinya sendiri kerana dia pemain terbaik di dunia.
“Semua orang ada masalah masing-masing dan anda perlu menghormatinya,” kata Tite.
Sebelum ini, bintang Barcelona itu telah mencetuskan kontroversi apabila menuduh badan pemantau bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL terlibat dengan rasuah selepas dia dilayangkan kad merah ketika menewaskan Chile 2-1 dalam aksi tempat ketiga dan keempat. – AFP











