Aishah digelar 'bodoh' kerana pertahankan hak - Utusan Malaysia

Aishah digelar ‘bodoh’ kerana pertahankan hak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR dua tahun memperjuangkan hak, penyanyi Aishah kini mampu menarik nafas lega apabila kemelut berlian palsu tajaan Datuk Seri Vida yang dimenanginya dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tidak lama dahulu akhirnya selesai

Menerusi proses mediasi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, ahli perniagaan kosmetik, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman diarahkan membayar harga barang kemas sebanyak RM80,000 kepada Aishah.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin menyifatkan menganggap keputusan yang dicapai kedua-dua belah pihak sebagai kemenangan mutlak bukan sahaja untuk dirinya malah untuk seluruh penggiat seni lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun digelar sebagai mata duitan, tidak kurang juga menganggap tindakan membawa isu tersebut ke mahkamah sebagai ‘bodoh’, pelantun Janji Manismu itu bagaimana tidak pernah menyesal.

Aishah sebaliknya bertegas, sudah tiba masanya untuk anak seni berdiri memperjuangkan hak masing-masing yang selama ini sering ditindas pihak tidak bertanggungjawab.

KOSMO!: Keputusan mediasi bersama isu berlian palsu antara Aishah dan Vida yang direkodkan di mahkamah berpihak kepada anda. Adakah anda puas hati?

AISHAH: Ramai beranggapan saya gembira dengan keputusan ini. Ya, saya berpuas hati, tetapi ada perasaan sedih di sebalik kejayaan tersebut.

Inilah yang sering dihadapi anak seni. Kes ini bukan kes saya sahaja tetapi ramai lagi anak seni di luar sana. Malangnya, tiada yang berani tampil menuntut hak mereka. Industri seni kita sangat lemah kerana tiada perlindungan. Saya harap kes ini menjadi rujukan pada masa akan datang.

Selepas kemenangan ini, apakah harapan anda terhadap industri seni?

Saya tegaskan di sini bahawa saya membawa kes ini sehingga ke saluran undang-undang bukan untuk diri saya sahaja.

Saya berharap pihak berkuasa dan kementerian berkaitan mendengar suara kami dan membela nasib penggiat seni negara.

Pihak berkuasa sepatutnya bertanggungjawab dalam menyelesaikan perkara ini.

Selama ini ramai anak seni di luar sana bergelut bersendirian untuk memperjuangkan nasib mereka.

Adakah anda mendapat sokongan daripada rakan artis?

Ada yang gelarkan saya bodoh hanya kerana memperjuangkan hak. Ketika kes ini hampir dibicarakan dalam mahkamah, hanya Nabil Ahmad sahaja yang bersetuju untuk menjadi saksi bagi membantu kes ini.

Pihak Astro yang menganjurkan pertandingan tersebut langsung tidak pernah tampil membantu menyelesaikan perkara ini. Saya sendiri tertanya-tanya ke mana wakil mereka menghilang.

Sekitar setahun setengah saya berjuang bersama peguam. Ini baru hadiah berlian, belum melibatkan hadiah lain termasuk lot banglo. Saya tidak akan berhenti di sini.

Tidakkah anda khuatir sekiranya nama anda digam daripada muncul menerusi stesen televisyen berkenaan?

Pernahkah anda ada lihat wajah saya di mana-mana stesen dalam tempoh dua tahun ini? Mungkin sekarang ini saya telah digam. Saya tidak kisah kerana saya telah terbiasa dengan situasi itu.

Mengapa anda tidak mahu mendapatkan wang tunai sebanyak RM80,000 sebaliknya bersetuju untuk menerima berlian dengan nilai yang sama?

Sudah berkali-kali saya tegaskan di sini, bukan duit yang saya perjuangkan.

Saya mahu wujudkan bukti kes untuk rujukan pada masa akan datang. Lagi pun, kedua-dua belah pihak telah bersetuju dalam proses mediasi.

Dia memilih lokasi, manakala saya pula memilih berlian dengan nilai yang dipersetujui.

Bagaimanakah proses mediasi dilakukan, adakah kalian bersemuka bagi mencapai kata putus?

Anda jangan salah faham. Proses tersebut melibatkan peguam saya dan peguamnya. Jika anda mengharapkan ada insiden tarik tudung, jangan khuatir perkara itu tidak berlaku. Kami berbincang secara profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini