KUALA TERENGGANU – Terengganu meneruskan saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) dengan berpesta gol mengalahkan Kuala Lumpur 6-0 di Stadium Negeri di sini malam tadi.
Mohd. Hafiz Ismail muncul wira tuan rumah apabila berjaya melakukan hatrick dan membantu pasukannya pada kedudukan selesa dengan memungut tujuh mata hasil dua kali menang dan seri sekali.
Pada perlawanan pertama tempoh hari Terengganu membuka tirai liga dengan seri 2-2 ketika bertandang di Kedah sebelum menang 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri di sini.
Selepas ini Terengganu bakal bertarung dengan KL City FC di Padang Kompleks Panasonic Shah Alam pukul 5 petang 14 Julai ini.
Selepas gol pertama dan kedua dijaringkan oleh Mohd. Hafiz pada minit ke 16 dan 31, skuad Terengganu di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Mohd. Rozairi Ahmad melebarkan jurang dengan menambah satu lagi gol menerusi tendangan penalti oleh Mohd. Idham Shafuan Iraman minit ke 35.
Pasukan tuan rumah terus menambah duka Kuala Lumpur hasil jaringan oleh Mohd. Aizat Shaari pada minit ke 36.
Tidak cukup dengan itu Terengganu menerusi Mohd. Hafiz sekali lagi menjaringkan gol kelima dua minit kemudian sekali gus melengkapkan hatriknya sebelum Mohd. Aizat menambahkan satu lagi gol pada minit 39 menjadikan kedudukan Terengganu menang 6-0 ke atas Kuala Lumpur.
Lebih mencuri tumpuan, Mohd. Aizat mencipta dua gol cantik menerusi tendangan lambung dari tengah gelanggang dalam keadaan penjaga gol tiada di gawang. – UTUSAN ONLINE










