Piagam sentuh kongsi kuasa, bahagi kerusi - Utusan Malaysia

Piagam sentuh kongsi kuasa, bahagi kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 7 Julai – `Piagam muafakat nasional’ yang bakal dimeterai Ogos nanti oleh Presiden Pas dan Presiden UMNO di bawah dasar ta`awun pastinya menyentuh perkongsian kuasa termasuk pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu sejurus penyatuan direalisasikan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, piagam tersebut yang sudah hampir lengkap merangkumi tiga muka surat juga memastikan wujud keseimbangan antara Pas dan UMNO sebagai rakan kongsi.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan kandungan piagam itu dengan alasan ia masih terlalu awal untuk diumumkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masih terlalu awal untuk kita umumkan, namun itu antaranya (kandungan piagam) apabila ada persefahaman, maka akan ada perkongsian. Secara detail tak adalah.

“(Tapi) Piagam agak lengkap dan mungkin merangkumi tiga muka surat, ia untuk seimbang antara dua belah pihak (Pas-UMNO) sebagai rakan kongsi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Literasi Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Paya Bunga Hotel di sini hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali dan yang hadir sama ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemimpin tertinggi dua parti Melayu itu dijangka menandatangani draf akhir piagam tersebut serta dokumen perjanjian persefahaman (MoU) pada Ogos ini.

Takiyuddin seterusnya mengesahkan mesyuarat jawatankuasa perundingan Pas dan UMNO akan diadakan pada 10 Julai ini (malam) bertempat di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa itu nanti dianggotai oleh 11 wakil daripada Pas dan 11 daripada UMNO dengan masing-masing diketuai oleh timbalan presiden kedua-dua parti.

“Kita ada satu lagi jawatankuasa teknikal di mana di pihak UMNO diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala Pas juga diketuai Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad.

“Jawatankuasa teknikal ini berfungsi merangka piagam muafakat antara Pas dan UMNO dan piagam ini disiapkan oleh jawatankuasa teknikal yang kemudiannya dibawa ke mesyuarat pada 10 Julai ini sebelum diteliti dan dimeterai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini