KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang cuba menyamun sebuah rumah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dekat sini gagal selepas ditahan polis hari ini.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Kajang kira-kira pukul 8.30 pagi selepas menerima laporan daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, ketika kejadian, suspek dikatakan sedang mengumpil pintu jeriji dan memanjat ke atas bumbung rumah tersebut.
Menurutnya, suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di rumah kedua di kediaman tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai sebanyak 11 rekod lampau iaitu enam kes dadah dan lima kes pecah rumah.
“Ujian saringan awal terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis heroin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahmad Dzaffir, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dalam badan.- UTUSAN ONLINE











