KAJANG – Tindakan seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah membawa padah selepas dia ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, penduduk di kawasan sekitar telah melaporkan kepada pihak polis selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sedang mengumpil jeriji pintu selain memanjat ke atas bumbung sebuah rumah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, sebaik menerima laporan, beberapa anggota telah ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Suspek didapati cuba menyembunyikan diri di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan namun tindakan suspek ternyata sia-sia selepas dia berjaya ditahan anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes dadah(6) dan pecah rumah(5),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek juga positif dadah jenis heroin.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dalam badan. – K! ONLINE











