KUALA LUMPUR – Melaka United bangkit daripada ketinggalan satu gol dengan membenam Petaling Jaya City (PJ City) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Dalam aksi itu, PJ City terlebih dahulu di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan Pendro Henrique namun Luka Milunovic menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat selepas menyudahkan hantaran lintang daripada Patrick Reichelt.
Sebelum memasuki waktu rehat, pertahanan Melaka, Jang Suk-Won menanduk gol kedua buat pasukan pelawat selepas menerima hantaran cantik Nazrin Nawi menerusi sepakan bebas.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada gol dapat dijaringkan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kini menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul 29 mata daripada 19 perlawanan. – UTUSAN ONLINE











