IPOH 6 Julai – Perak gagal meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 0-3 kepada pasukan pelawat dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini hari ini.
Kemenangan tersebut melebarkan rekod tanpa kalah JDT kepada 19 perlawanan dan kini mengumpul 49 mata setelah mencatat 15 kemenangan dan empat kali seri.
JDT yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini pada Sabtu lalu selepas mengalahkan Melaka United 2-1 di tempat lawan, beraksi tanpa tekanan dan menguasai perlawanan sejak awal permainan.
JDT mendahului apabila Leandro Velasquez berjaya melepasi perangkap ofsaid dan melakukan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-37.
Pasukan pelawat menggandakan gol sekali lagi menerusi Leandro Velasquez yang melakukan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti pada minit ke-48.
Pemain gantian, Muhammad Akhyar Abdul Rashid menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol pasukan Perak pada minit ke-90. – UTUSAN ONLINE











