KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang meninggal dunia akibat tercekik roti ketika di dalam jagaan pengasuhnya di Apartment Nuri, dekat Gombak, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang pegawai perubatan di Hospital Selayang berhubung kematian mangsa, Nia Adreanna Mohd. Yasir pada Khamis lalu.
“Mangsa dimasukkan ke wad kecemasan hospital tersebut pada Isnin, kira-kira pukul 10 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat tercekik kepingan roti ketika dalam jagaan pengasuh.
“Pihak hospital turut menemukan sisa roti berkenaan ketika proses resusitasi pada masa kejadian, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia tiga hari selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Samsor, punca kematian mangsa adalah akibat kerosakan otak yang dialami selepas tidak menerima oksigen yang cukup di bahagian otak dan juga darah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak terhadap pengasuh tersebut. – UTUSAN ONLINE











