Cabaran tunaikan ibadat haji - Utusan Malaysia

Cabaran tunaikan ibadat haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAMIS lalu, rombongan pertama jemaah haji Malaysia melibatkan KT01 dan KT02 telah pun berlepas ke Madinah dan pada keesokan hari dua rombongan itu dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah setelah lapan jam penerbangan.

Dengan ini juga maka rasmilah perjalanan rohani melibatkan 30,200 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1440H/2019M dalam menyempurnakan rukun Islam kelima sehinggalah penerbangan terakhir pada 14 Ogos akan datang.

Penulis sendiri serta isteri pernah dijemput menjadi duyufurrahman pada 2008. Sekitar sebelum tahun 2008, giliran haji pada masa itu tidak sesukar sekarang. Daftar sahaja haji pada 2003, lima tahun kemudian iaitu 2008 kami telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak perlu menunggu sehingga giliran 100 tahun sepertimana sekarang. Yalah masa pun telah berubah dan kesedaran umat Islam untuk tunaikan haji juga begitu tinggi. Jadi tidak hairanlah tempoh menunggu untuk ke tanah suci semakin panjang.

Memang tidak dinafikan sekiranya dilihat tempoh giliran itu seperti tidak masuk akal namun percayalah jika sudah tertulis seseorang itu akan dijemput sebagai duyufurrahman maka perkara itu tetap akan berlaku.

Bagaimana dan cara mana semuanya akan ditentukan oleh Allah SWT. Pokoknya sekarang setiap daripada kita wajib daftar haji lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan untuk daftar haji menggunakan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM1,300.

Jangan pandang sebelah mata tentang perkara ini. Jangan anggap perkara ini remeh dan tidak penting. Sekiranya perkara ini dilakukan, percayalah bahawa Allah Maha Mengetahui akan niat kita untuk tunai ibadat haji satu hari nanti. Jika kita meninggal dunia sekali pun dan tidak sempat menunaikan ibadat ini Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sebaliknya pula, jika ada kemampuan (untuk daftar haji) tetapi perkara itu tidak dilakukan, agak-agak apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah. Ingat, haji adalah salah satu perkara yang membentuk rukun Islam dan kegagalan seseorang melakukan sebarang usaha ke arah mengerjakan haji (khususnya dalam kalangan berkemampuan) pasti ada balasannya sama ada di dunia atau akhirat.

Berbalik kepada jemaah haji kita yang kini dalam proses ke tanah suci peringkat demi peringkat, tahniah diucapkan kepada mereka. Paling penting, penuhilah masa di Mekah dan Madinah dengan sebaik-baiknya iaitu dengan memperbanyakkan amal ibadat. Mungkin inilah kali pertama dan kali terakhir kita dijemput sebagai tetamu Allah. Jangan sia-siakan peluang dan ruang yang telah diberikan ini.

Kepada semua jemaah terutamanya lelaki, solatlah di masjid dan elakkan bersolat di hotel atau bilik. Jika berada di Madinah tunaikanlah solat di Masjid Nabawi dan kalau berada di Mekah solatlah di Masjidilharam. Alangkah ruginya kita keluarkan belanja beribu-ribu ringgit untuk sampai ke tanah suci tetapi hanya bersolat di hotel atau bilik.

Memang tidak dinafikan ada para jemaah yang hotel mereka agak jauh daripada masjid terutama di Mekah namun itu bukan alasan untuk bersolat di kediaman mereka. Usahalah sebaik mungkin untuk bersolat di Masjidilharam setiap lima waktu melainkan keadaan kesihatan benar-benar tidak mengizinkan.

Seperkara lagi tentang wujudnya `ustaz segera’ dalam kalangan para jemaah sendiri. Oleh itu dinasihatkan agar setiap permasalahan tentang ibadat haji sila rujuk kepada Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci yang sentiasa bersiap sedia di setiap penginapan jemaah untuk menjawab segala kemusykilan.

Jangan rujuk dengan rakan sebilik atau jemaah yang lain kerana dikhuatiri maklumat yang diberikan salah. Jika ini yang berlaku dibimbangi terdapat manasik haji yang dilakukan tanpa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak.

Duit juga menjadi salah satu masalah jika tidak diuruskan dengan baik di Tanah Suci. Sebaik-baiknya simpan duit dalam Tabung Haji. Jika hendak digunakan keluarkan sekadar keperluan di kaunter-kaunter Tabung Haji yang disediakan di hotel-hotel tertentu sama ada di Mekah atau Madinah. Jangan bawa wang tunai dengan jumlah yang banyak kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Para jemaah juga diingatkan agar tidak tertarik dengan tawaran sindiket warga Indonesia untuk membantu mereka mencium hajarul aswad. Memang sindiket ini boleh membantu jemaah tetapi awas bantuan itu bukan percuma. Mereka mahu upah yang lumayan.

Jika tidak cukup duit silap-silap mereka boleh ikut sampai ke bilik hotel untuk tuntut bayaran. Mungkin 200 riyal, mungkin 400 riyal dan mungkin 500 riyal. Jika berhajat juga untuk mencium hajarul aswad ikut kemampuan kudrat kita. Jika masih gagal anggaplah itu bukan rezeki.

Sememangnya sudut hajarul aswad adalah tempat paling sesak. Tidak pernah surut, 24 jam jemaah dari seluruh dunia tertumpu di tempat itu. Seorang ustaz penah memberitahu jika jemaah terlalu berhajat untuk mencium hajarul aswad, berdoalah kepada Allah supaya segala-galanya dipermudahkan.

Hubungan suami isteri di tanah suci juga sering menjadi isu. Kadang-kadang berpunca daripada salah faham. Sebagai contoh salah tempat menunggu. Si suami suruh isterinya tunggu di bangunan A tetapi dia tunggu di bangunan B. Akhirnya kedua-dua tidak bertemu. Mulalah masing-masing melenting. Oleh itu antara doa yang perlu diperbanyakkan ialah mohon pada Allah agar hubungan suami isteri sentiasa baik dan harmoni sepanjang menjalankan ibadat haji.

Akhir kalam perbanyakkan minum air zam zam dan semoga semua jemaah haji Malaysia memperoleh haji mabrur. Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini