Bagi orang kebanyakan jika hendak membeli sesuatu barang pasti akan berkira-kira terlebih dahulu sama ada cukup bajet atau tidak. Namun situasi ini pastinya berbeza jika individu itu bertaraf jutawan atau manusia paling kaya di dunia.
Pastinya wang yang berkepuk dalam bank akan digunakan untuk membeli sesuatu yang boleh memberikan kepuasan kepada mereka. Antara barangan yang selalu menjadi perhatian golongan ini ialah barang kemas, kereta mewah dan antik, rumah agam, kapal layar dan lukisan. Untuk ruangan kali ini Rencam menyenaraikan lapan barangan paling mahal di dunia mengikut kategori masing-masing yang dimiliki oleh jutawan-jutawan serata dunia.

1. Jam tangan bertatahkan berlian Graff Hallucination
Graff Diamonds Hallucination diiktiraf sebagai jam tangan paling mahal di dunia dengan harganya yang mencecah AS$55 juta atau RM224 juta. Diilhamkan oleh Pengerusi Graff Diamonds sendiri iaitu Laurence Graff. Jam ini sangat bernilai tinggi kerana dihiasi dengan 110 karat berlian berwarna kuning, merah jambu, biru, kelabu dan jingga.
2. 1963 Ferrari 250 GTO
Pada tahun lalu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WeatherTech, David MacNeil memecah rekod pembelian kereta termahal di dunia apabila berjaya membeli kereta lumba Ferrari 250 GTO keluaran 1962 dengan harga AS$70 juta (RM289 juta).
Lebih istimewa Ferrari 250 GTO ini hanya dikeluarkan sebanyak 39 buah antara tahun 1962 hingga 1964. Antara nama-nama terkenal yang pernah memiliki kereta Ferrari model ini ialah Ralph Lauren; pemain dram kumpulan Pink Floyd, Nick Mason dan bilionair British, Lord Anthony Bamford.
3. Antilia, Mumbai
Antilia yang terletak di Mumbai, India merupakan sebuah kediaman mewah setinggi 27 tingkat yang dimiliki oleh lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani, 61, bersama isterinya, Nita dan tiga orang anak mereka. Ambani yang juga pemilik syarikat gergasi minyak dan gas Reliance Industries menamakan kediaman ini sebagai Antilia sebagai penghormatan kepada sebuah pulau legenda yang terletak di Lautan Atlantik.
Menerusi laporan akhbar Mirror Online UK, nilai rumah ini ialah AS$2 bilion (RM5.45 bilion) dan rumah ini juga diisytihar sebagai kediaman persendirian berbilion dolar pertama di dunia pada 2010.
Kediaman tersebut dilengkapi dengan 168 tempat letak kereta, spa, kuil, teater yang boleh memuatkan 50 penonton, beberapa kolam renang, taman empat tingkat dan tempat pendaratan helikopter. Di bahagian dewan besarnya pula dihiasi dengan 80 peratus siling yang dipasang lampu candelier.

4. Ikan tuna sirip biru
Pada awal tahun ini seorang pemilik restoran sushi di Jepun menggemparkan seluruh dunia apabila sanggup membayar AS$3.1 juta (RM12.75 juta) untuk seekor ikan tuna sirip biru seberat 278 kilogram (kg).
Dianggarkan setiap satu kilogram ikan ini bernilai lebih daripada RM45,000. Sebelum ini rekod harga lelongan bagi ikan yang sama adalah RM5.88 juta untuk 221 kg atau bersamaan kira-kira RM27,000 sekilogram.
Ikan tuna sirip biru merupakan salah satu spesies ikan tuna yang terbesar dan memiliki warna yang paling cantik berbanding ikan tuna yang lain.
5. Lukisan Salvator Mundi
Lukisan Salvator Mundi yang memaparkan gambar Jesus sedang memberi restu sambil memegang bebola kristal diiktiraf sebagai salah satu karya lukisan Leonardo da Vinci yang dijual dengan harga paling mahal di dunia.
Dengan harga bernilai AS$450 juta (RM1.86 bilion) lukisan ini berjaya dibida oleh Putera Bader bin Abdullah dalam satu acara lelongan oleh Christie di New York pada 15 November 2017. Kini lukisan ini berada dalam simpanan Jabatan Kebudayaan dan Perlancongan Abu Dhabi.
6. Permata Wittelsbach-Graff
Dijumpai di India pada kurun ke-18, permata Wittelsbach-Graff seberat 35.5 karat pada asalnya pernah dimiliki oleh Raja Sepanyol, Philip IV. Bagaimanapun, permata ini telah bertukar tangan beberapa kali sehinggalah seorang pengedar berlian, Laurence Graff membelinya dalam satu acara lelongan pada 2008 dengan harga AS$24,311,191 (RM100.51 juta).
Bagaimanapun, Graff pernah menimbulkan kontroversi apabila mengambil keputusan memotong semula dan menggilap berlian tersebut, sekali gus mengurangkan beratnya daripada 35.5 karat kepada 31 karat.
Meskipun dikritik banyak pihak kerana didakwa menjejaskan kualiti permata ini, Graff menyangkal dakwaan tersebut dengan mempertahankan tindakannya itu bertujuan membersihkan kotoran yang ada sekali gus menyerlahkan lagi kesempurnaan permata paling terkenal di dunia ini.
7. Arca patung Alberto Giacometti’s L’Homme au doigt
Arca L’Homme au doigt atau Pointing Man merupakan arca gangsa hasil karya Alberto Giacometti (1901-1966) pada 1947. Arca setinggi 1.82 meter ini kemudiannya diiktiraf sebagai arca paling mahal di dunia selepas syarikat lelongan seni halus, Christie melelong arca ini dengan harga AS$141.3 juta (RM582 juta) pada 2015 sekali gus menjadi arca yang paling mahal dalam sejarah, mengatasi arca L ‘Homme qui marche I yang dijual pada 2010 dengan harga AS$102,006 juta (RM421.747 juta).

8. Kapal layar History Supreme
Kapal layar yang diberi nama History Supreme yang berharga AS$4.8 bilion (RM19.85) pernah menggemparkan dunia apabila pemiliknya dikaitkan dengan orang paling kaya di Malaysia iaitu Tan Sri Robert Kuok.
Menariknya mengenai kapal layar ini, keseluruhan badan kapal sepanjang 30.48 meter (100 kaki) ini diperbuat daripada emas tulen dan direka oleh pembuat hiasan emas terkenal dari Liverpool, Stuart Hughes. Lebih mengagumkan bilik tidur utama kapal layar ini dihias mewah dengan menggunakan logam platinum dan artifak tulang dinosaur, T-Rex manakala di bahagian dindingnya pula dihiasi dengan sejumlah batu meteor.











