JITRA 6 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berharap jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diselaraskan bagi melancarkan urusan parti.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, kedua-dua jawatan tersebut perlu dipegang oleh individu yang sama seperti mana ketika beliau menjadi Menteri Besar dahulu.
“Kami mahu individu yang menjawat jawatan Pengerusi Perhubungan (UMNO) turut menjawat jawatan Pengerusi BN bagi memastikan kelancaran parti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.
Jawatan Pengerusi BN Perlis kini disandang Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Semalam, Shahidan dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memegang jawatan itu, sebelum ini.
Mengulas lanjut, Shahidan turut menyambut baik pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis bersama-sama Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang kekal sebagai Timbalannya seperti sebelum ini.
“Saya dengan Zahidi memang tidak ada masalah, kalau Zahidi jadi pengerusi pun saya tak ada masalah, saya ikut sahaja kerana saya dengan beliau okay-okay,” katanya. – UTUSAN ONLINE











